HAKIKAT ILMU
Ilmu menurut pendapat ulama ialah perkataan-perkataan dan
maknanya. Menurut Arif, Ilmu itu ialah mengetahui Asma-Asma dan objek-objek
yang ditunjukkan oleh Asma itu. Di sini bermula asas dan dasarnya.
Ilmu itu tidak boleh dikaitkan dengan 'Adam kerana ia tidak
ada. Ilmu hanya boleh dikaitkan dengan yang wujud sahaja. Yang tidak ada, tidak
dapat dikaitkan dengan ilmu kerana yang tidak ada itu tidak dapat difikirkan
dan tidak termasuk dalam akal dan tidak dapat disifatkan. Hakikatnya tidak ada,
melainkan semata-mata nafi. Nafi semata-mata tidak dapat menghasilkan apa-apa
(pada akal dan fikiran). Jika hasil apa-apa, maka jadilah wujud.
Adam tidak boleh wujud bila-bila masa pun kerana
hakikat-hakikat tidak boleh berubah.
Jika anda periksa apa yang membisikkan pada diri anda dan
apa yang ditanggap oleh Qalbu (Hati) anda dengan menafikan adanya sekutu bagi
Allah, maka anda akan dapati bahawa tidak ada yang lain dalam diri anda kecuali
Keesaan yang wujud.
Inilah pengertian ilmu mengikut ahli makrifat; mengetahui
sesuatu yang boleh dikaitkan dengan yang wujud sahaja di mana yang wujud dalam
makrifat mereka tidak memiliki sebarang analogi lain selain dirinya sendiri.
Allah tidak memiliki analogi lain selain Diri-Nya Sendiri; dan Dia menyerupai
Diri-Nya sendiri. Dia serupa itu dan Dia serupa Diri-Nya, kerana ia analog
dengan Diri-Nya sendiri. Dia hanya seperti Diri-Nya dan hanya seperti dirinya.
Peneguhnya adalah penopangnya dan penopangnya adalah peneguhnya. Ia bukan Dia
dan Dia bukan ia. Dan tiada Dia kecuali ia dan tiada ia selain Dia. Tak ada
makrifat selain Dia. Tak ada dia kecuali Dia.
Maka ahli makrifat adalah "seseorang yang melihat dan
makrifat berada dalam dia yang tetap tinggal di dalam". Ahli makrifat
tinggal dengan "tindakan mengenal" oleh kerana ia adalah
pengenalannya. Pengenalannya adalah miliknya dan makrifat berada disebalik itu.
Bentuk-bentuk masih lebih jauh lagi di seberang itu.
Cerita adalah urusan penutur cerita dan makrifat adalah
urusan orang terpilih. Tindakan pura-pura adalah tindakan perseorangan bersama
pelamun-pelamun sesat, dan tafakkur tinggal bersama dengan orang-orang yang
murung manakala kelalaian bersama dengan orang-orang yang kebingungan.
Allah adalah Allah, Ciptaan adalah ciptaan.
Dan tak ada soal .
Sesungguhnya "Tidak ada perubahan dalam kalimah-kalimah
Allah itu" (Surah Yunus:64)
JENIS-JENIS ILMU & BAHAGIAN-BAHAGIANNYA
Ketahuilah bahawa ilmu terbahagi kepada dua bahagian utama
iaitu:
Ilmu Syari'i
Ilmu 'Aqli
Ilmu-ilmu Syari'iah adalah bersifat 'Aqliah bagi orang yang
mengetahuinya dan kebanyakan Ilmu-ilmu 'Aqliah adalah bersifat Syari'iah bagi
orang yang mengenalinya. ( Kenyataan di atas jika difahami ianya adalah untuk
menunjukkan hubungan yang erat antara ilmu-ilmu Syari'iah dan ilmu 'Aqliah
sebagaimana yang akan dinyatakan seterusnya.)
Firman Allah yang bermaksud;
"Dan sesiapa yang Allah tidak kurniakan nur kepadanya,
nescaya tidak ada baginya nur."
(Surah Al-Nur : 40)
Bahagian Pertama (Ilmu Syari'ah)
Ilmu Syari'ah terbahagi kepada dua macam iaitu:
A. ILMU USUL (Umbi).
B. ILMU FURU'
A. ILMU USUL
Ilmu Usul (Umbi) ini terbahagi pula kepada tiga jenis iaitu
Ilmu Tauhid , Ilmu Tafsir dan Ilmu Akhbar ( Hadis )
1. Ilmu Tauhid.
Ilmu ini membicarakan tentang zat Allah Taala,
Sifat-sifatnya yang Qadimiah(Sediakala) Sifat-sifatnya yang Fi'liah(berupa
perbuatan) dan Sifat-sifatnya yang Zaatiah(berupa Zat) yang berbagai-bagai nama
menurut nama-nama sebagaimana yang tersebut.
Ia membicarakan tentang Nabi-nabi dan Imam-imam selepas
mereka dan sahabat. Juga membicarakan tentang mati dan hidup,
membicarakan tentang Qiyamat, kebangkitan, perhimpunan di
padang Masyar, kiraan amalan dan kelihatan Allah Taala.
Ahli-ahli fikir dalam ilmu ini berpegang pada:
* mula-mula sekali dengan ayat-ayat Al-Quran
* kemudian dengan hadis-hadis Rasulullah SAW.
* kemudian dengan dalil-dalil 'Aqliah dan bukti-bukti
Qiyasiah
Mereka mempergunakan bahan-bahan qias perdebatan dan 'Anadi'
(qias Pertentangan) dan hujungan-hujungan kedua-duanya yang diambil dari
Logik(Mantik) Falsafah dan mereka meletakkan perkataan bukan pada tempatnya.
Mereka mempergunakan istilah-istilah :-
Jauhar, A'radh, Dalil, Nazor (tilik) Istidlal dan Hujah,
sedangkan berlainan makna tiap-tiap istilah ini bagi tiap-tiap golongan.
Ahli-ahli Tasauf maksudkan suatu yang lain manakala ahli-ahli Ilmu Qalam
maksudkan suatu yang lain pula. begitulah seterusnya. Bicara bapak ini tidaklah
bermaksud untuk mentahkidkan makna tiap-tiap perkataan itu menurut pendapat
tiap-tiap golongan. Oleh itu kita tidak akan bincangkan di sini.
Ahli-ahli fikir dalam usul dan ilmu tauhid yang mengambil
bahagian khas ( dalam mengemukakan dan mempertahankan ilmu mereka) dengan
"Qalam" atau "Kata-Kata" digelarkan
"Mutakallimun" (ahli-ahli ilmu qalam). Oleh sebab ini ilmu tauhid
terkenal juga dengan gelaran "ILMU QALAM".
2. Ilmu Tafsir.
Al-Quran adalah sesuatu yang paling agung dan paling penting
dalam agama. Di dalam Al Quran terdapat kemusykilan yang tidak dapat
diselesaikan oleh akal tiap-tiap orang selain dari orang yang dikurniakan oleh
Allah Taala untuk memahami kitabnya. Dalam hal ini Rasulullah SAW ada bersabda
yang bermaksud:
"Tiap-tiap ayat Al Quran itu ada sahaja zahir dan batin
dan batinnya itu mempunyai tujuh lapisan pula"
Dalam suatu riwayat yang lain dinyatakan sebagai mempunyai
sembilan batinnya.
Rasulullah bersabda lagi dengan maksudnya:
"Tiap-tiap huruf dari huruf-huruf Al-Quran mempunyai
had.”
Maksudnya sama dengan 'Nihayah' yang bermaksud batas) dan
tiap-tiap had mempunyai Mutholi'(tempat tinggi untuk meninjau). Allah Taala
telah memberitakan dalam Al-Quran mengenai seluruh ilmu, segala maujudah yang
nyata dan yang tersembunyi, yang kecil dan yang besar, yang dapat dirasa dan
yang dapat difahami oleh akal. Ini ditunjukkan oleh firmannya yang bermaksud:
"Dan tidak ( gugur ) biji yang basah dan tidak kering
melainkan terdapat dalam Kitab yang nyata".
(Surah Al-An'am, ayat 59).
Allah berfirman lagi yang bermaksud:
"Supaya mereka perhatikan ayat-ayatnya dan supaya ingat
orang-orang yang mempunyai fikiran".(Surah Al-Shod, ayat 29).
Bila Al-Quran itu suatu yang paling agung, ahli-ahli tafsir
manakah yang dapat keluar dari ikatannya?
Ya!, tiap-tiap dari ahli tafsir hanya dapat menghuraikan
Al-Quran menurut tenaga sahaja, menerangkannya sekadar kekuatan akalnya dan
menurut kadar isi ilmunya. Dengan kebolehan-kebolehan yang terbatas ini
sekalian ahli tafsir itu berkata-kata sedangkan sebenarnya mereka patut berkata
bahawa dalam ilmu Al-Quran itu terkandung :- Ilmu Usul dan Ilmu Furu', Ilmu
Syarie' dan Ilmu 'Aqli.
Meskipun begitu ahli tafsir mestilah memandang Al-Quran dari
segi bahasanya, dari segi perumpamaannya, dari segi susunan pengucapan, dari
segi tingkat-tingkat nahu, dari segi 'adat Arab, dari segi pendapat
hukamah-hukamah, dari segi perkataan ahli tasauf hingga dapat mendekatkan
tafsirnya kepada tahkiq. Andainya tafsir itu cuma terbatas setakat suatu segi
sahaja dan hanya memberikan keterangan menerusi suatu kepandaian sahaja,
tidaklah keterangan itu memuaskan hati dan masih memberi peluang kepada hujah
dan alasan dari orang lain untuk menentangnya.
3. Ilmu Akhbar (Hadis-hadis)
Bahawa Nabi SAW adalah orang Arab dan A'jam yang paling
fasih, ia adalah guru yang diwahyukan kepadanya dari Allah Taala, akalnya
adalah meliputi seluruh Alam Atas dan Alam Bawah, tiap-tiap perkataannya ,
malah tiap-tiap ucapannya terdapat disebaliknya lautan rahsia dan
perbendaharaan teka-teki. Maka mengetahui Akhbarnya dan mengenali hadisnya
adalah suatu soal yang besar dan suatu kerja yang hebat, sesiapa pun tidak berkuasa
untuk menyelami ilmu perkataan Nabawi melainkan dengan cara ia membetulkan diri
menuruti perintah-perintah Nabi SAW dan menghilangkan kebengkok-bengkokkan dari
Qalbunya dengan pedoman syarak Nabi SAW.
Sesiapa yang ingin memperkatakan tafsir Quran dan Takwil
Akhbar (Hadis) dan ingin supaya tepat kata-katanya, orang itu pada mula-mula
sekali mesti menguasai Ilmu Bahasa, mendalami Ilmu Nahu dan mempunyai
pengetahuan yang dalam bidang 'Irab (perubahan baris-baris akhir kalimah kerana
faktor-faktor mendatang menurut Ilmu Nahu) dan pandai dalam berbagai-bagai
Tasrik (kepandaian mengubah sesuatu kalimah yang asal menjadi bermacam-macam
bentuk untuk pengertian-pengertian yang dikehendaki oleh seseorang),
Ini adalah kerana Ilmu Bahasa adalah tangga untuk mendaki
kepada seluruh ilmu. Sesiapa yang ingin naik ke atas serambi rumah, lebih dulu
ia perlu menyediakan tangga, kemudian baru mendaki, Ilmu Bahasa adalah jalan
yang penting dan tangga yang besar ertinya. Seorang penuntut ilmu tiada dapat
memisahkan dia dari hukum-hukum bahasa.
Oleh itu Ilmu Bahasa adalah asal segala asal. Yang mula-mula
mesti diketahui dalam bahasa ialah mengenai bahan-bahan yang sama tarafnya
dengan perkataannya sepatah demi sepatah kemudian mengetahui kata-kata
perbuatan seperti kata-kata yang terdiri dari tiga huruf dan empat huruf dan
lain-lainnya.
Seorang Ahli Bahasa mesti pula mengetahui syair-syair Arab,
dan yang paling penting serta paling rapi ialah syair-syair jahiliah, kerana ia
mengasahkan fikiran dan memperhaluskan jiwa. Selepas syair-syair, bahan-bahan
(dari perkataan) dan nama-nama itu mesti menguasai ilmu nahu, kerana ia untuk
ilmu bahasa serupa dengan timbangan dacing untuk emas dan perak, Manthiq untuk
Ilmu Falsafah 'Arudh (Ilmu timbangan syair atau Ilmu Persajakan) untuk syair.
Lengan untuk baju dan sukatan untuk biji-bijian. Tiap-tiap suatu tiada di
timbang dengan timbangan yang tiada jelas padanya hakikat pertambahan dan
pengurangan.
Oleh itu Ilmu Bahasa adalah jalan menuju kepada Ilmu Tafsir
dan Akhbar(Hadis). Ilmu Al-Quran dan Akhbar adalah dalil bagi ilmu tauhid,
manakala tauhid adalah ilmu yang hanya dengan dia sahaja baru terselamat para
hamba dan dengannya mereka terlepas dari ketakutan hari kebangkitan kembali.
Inilah Ilmu Usul secara perincian.
B. ILMU FURU’ ( Ilmu Cawangan)
Sesuatu ilmu itu boleh berupa 'Alami atau 'Amali. Ilmu Usul
adalah ilmu yang berupa Ilmu 'Alami manakala Ilmu Furu' adalah ilmu yang berupa
'Amali.
Ilmu Amali ini mengandungi tiga hak :
1. Hak Allah Taala :
Ini adalah mengenai bahagian-bahagian ibadat seperti
bersuci, sembahyang, zakat, haji, jihad zikir, perayaan-perayaan (Al-'Ayaad
dengan makna pertama perayaan agama dan makna kedua pengulangan-pengulangan
maksudnya Tajali-tajali yang berulang-ulang atas Qalbu dengan cara mengulangi
amalan-amalan) perhimpunan (Jama'ah ), dan lain-lain amalan sunat dan fardhu.
2. Hak para hamba
Ini adalah mengenai bahagian-bahagian 'Aadat
(kemasyarakatan) yang terbahagi kepada dua bidang:
I. Mu'amalah (Pergaulan)
seperti jual beli, syarikat, pemberian (Al-Hibah), pemberian pinjam dan hutang,
Qishas dan segala bahagian Diyat (denda berupa wang dari kesalahan pembunuhan
atau pencederaan).
II. Mu'aakodah(Perjanjian)
seperti nikah, talak, pembebasan hamba, perhambaan, pembahagian pesaka dan
segala hujungannya.
Dua bahagian yang tersebut di atas ini dinamakan 'FEKAH'.
Ilmu Fekah adalah ilmu yang mulia, berfaedah, mengenai semua (manusia) lagi
perlu. Tidak terlepas manusia daripadanya kerana keperluannya kepadanya adalah
umum.
3. Hak Jiwa.
Hak jiwa ialah sesuatu yang berkaitan dengan Ilmu Akhlak.
Akhlak itu kalau tercela wajib disingkirkan dan dibuang. Jika terpuji, wajib
dipakai sebagai perhiasan segala jiwa. Akhlak yang tercela dan sifat-sifat yang
terpuji memang terkenal dalam Kitab Allah dan hadis-hadis Rasulullah SAW.
Sesiapa yang berakhlak dengan salah satu daripada sifat-sifat yang terpuji itu,
ia akan masuk syurga.
ILMU ‘AQLI
Ilmu 'Aqli atau ilmu yang bermasaalah lagi musykil. Ilmu
yang boleh berlaku SALAH atau BETUL. Ia terletak pada tiga tingkat iaitu:
Tingkat Pertama
Tingkat mula-mula, Ilmu Matematik dan Ilmu Logik(Mantik).
Dari Ilmu Matematik lahir Ilmu Hisab yang membicarakan tentang angka-angka,
geometri (ilmu ukuran-ukuran dan bentuk-bentuk), Ilmu Astronomi (berhubung
dengan falak, bintang-bintang, kawasan-kawasan bumi dan apa-apa yang
berhubungan dengannya). Terbit dari Ilmu Astronomi ini sebagai cawangannya
ialah Ilmu Astrologi (Ilmu Nujum dan hukum-hukum dan Horoskop). Dari Ilmu
Matematik itu lahir pula ilmu-ilmu muzik yang membicarakan tentang nisbah tali-tali
alat bunyi. Ada pun ilmu logik adalah membicarakan tentang cara menentukan had
(Al-Had ) dan Resam (Al-Resam) dalam sesuatu yang dapat dicapai dengan konsep
(Tasawwur). Juga ia meninjau dari cara qias ( Al-Qias ) dan bukti ( Al-Burhan )
dalam ilmu-ilmu yang dicapai dengan pengakuan (Al-Tasdiq). Ilmu Logik berpusing
di sekitar kaedah ini.
Bermula dari kata-kata tunggal,
kemudian kata-kata bersusun,
kemudian khasiat-khasiat,
kemudian qias,
kemudian bahagian-bahagian qias,
kemudian matlamat bukti (Mutholib Al-Burhan).
Inilah dia penghabisan Ilmu Logik.
Tingkat Kedua
Tingkat tengah ini ialah Ilmu Tabie. Ilmu Tabie ini ialah
suatu ilmu yang membicarakan tentang Jisim Mutlak (Jisim semata-mata jisim yang
terdiri dari benda dan rupa tanpa ikatan dengan mana-mana ruang. Di sini
dibicarakan tentang pembahagian-pembahagian jisim, gerak, perubahan dan apa
yang berhubung dengan gerak itu seperti zaman, ruang dan kosong) dan
Rukun-rukun Alam (membicarakan tentang langit-langit dan
empat anasir yang berada daripada bahagian bawah falak bulan, tabiat-tabiat
anasir itu dan lain-lain),
Jauhar-jauhar dan 'Aradh, Gerak dan Diam, tentang Hal Ehwal
Langit, Sesuatu Yang Berupa Tindakan dan Kesan Tindakan.
Dari ilmu ini, lahir perbicaraan tentang:
Hal-ehwal Tingkat-tingkat Maujudah, Bahagian-bahagian Jiwa,
Mizraj dan Kualiti Deria dan
cara pencapaiannya terhadap sesuatu yang dapat dicapainya.
Kemudian membawa kepada perbicaraan tentang ilmu kedoktoran
iaitu ilmu mengenai badan-badan, penyakit-penyakit, ubat-ubat, pengubatan dan
apa yang berhubung dengannya. Di antara cawangan Ilmu Tabie ialah:-
Ilmu Kesan-kesan Atas
Ilmu Benda-benda Galian
Pengetahuan Khasiat Benda dan berakhir pada Ilmu Perusahaan
Kimia iaitu pengubatan jasad-jasad yang sakit pada bahagian-bahagian dalam
benda-benda galian.
Tingkat Ketiga.
Ini adalah tingkat tertinggi yang membicarakan tentang
MAUJUD kemudian membahagikan kepada "WAJIB"(tiap-tiap apa yang
wujudnya dari zatnya sendiri bukan dari yang lain. Wujud yang begini keadaannya
ialah wujud Allah, sebab inilah diistilahkan dengan "WAJIBAL WUJUD"
ertinya "Yang Wajib Ada") dan "MUMKIN" (tiap-tiap yang wujudnya
bukan dengan zatnya sendiri, malah bergantung dengan zat yang lain. Kalau tidak
ada zat yang lain ini, maka ia tidak.
Wujudnya yang begini keadaannya adalah wujudnya makhluk.
Sebab itulah makhluk diistilahkan dengan "MUMKINAL WUJUD"ertinya
"Yang Mungkin Ada"). kemudian membicarakan tentang Penciptanya dan
ZatNya, segala sifat-sifatNya, perbuatan-perbuatanNya, perintah-perintahNya,
hukum dan qadaNya serta susunan kelahiran maujudah daripadaNya, kemudian
membicarakan tentang sesuatu yang tinggi (Al-'Uluyah) Jauhar-jauhar Mufrad,
Akal-akal Abstrak, dan Jiwa Yang Sempurna kemudian membicarakan tentang
malaikat-malaikat dan syaitan-syaitan dan berakhir dengan Ilmu Nubuwah,
soal-soal mukjizat dan hal-ehwal keramat, dan kemudiannya membicarakan
hal-ehwal Jiwa-jiwa Suci, hal-hal tidur dan sedar dan maqam-maqam mimpi.
Di antara cawangan-cawangannya ialah :-
Ilmu Tillasmaat (Ilmu membuat tangkal atau azimat) dan Ziijaat
(ilmu yang membicarakan tentang kedudukan falaniah-falaniah) dan apa yang
berhubungan dengannya.
Ilmu-ilmu ini mempunyai perincian-perincian,
lapangan-lapangannya dan tingkat-tingkatnya yang memerlukan ruangan yang
lanjut. Tetapi sudah cukuplah dengan ringkasan ini.
TINGKAT-TINGKAT JIWA DALAM MENDAPAT ILMU
Ketahuilah bahawa ilmu-ilmu adalah terhunjam dalam seluruh
jiwa manusia dan semuanya sesuai untuk menerima seluruh ilmu. Kalau suatu jiwa
itu terluput dari mendapat habuannya, tidak lain hanya kerana suatu sebab yang
mendatang, menimpa ke atas nya dari luar. Sebagaimana sabda Nabi SAW. yang bermaksud:
"Dijadikan manusia dalam keadaan suci, kemudian
dirosakkan mereka oleh syaitan-syaitan".
dan sabdanya lagi yang bermaksud:
"Tiap-tiap yang dilahirkan adalah dilahirkan dalam
keadaan semulajadi".
Jiwa berakal (Al-Nafsul Naathoqah) manusia memang layak
untuk menerima pencaran jiwa keseluruhan (Al-Nafsul Kulliyah) di atasnya dan
bersedia untuk menerima gambaran-gambaran yang dapat difahami oleh akal
(Ma'quulah) dengan kekuatan kesucian aslinya dan kemurniaannya yang asal.
Tetapi sebahagiannya menderita sakit dalam dunia ini diserang oleh berbagai
penyakit yang menyebabkan tiada dapat mencapai hakikat-hakikat, manakala
sebahagiannya masih dalam keadaan kesihatan yang asal tanpa sakit dan rosak dan
sentiasa bersedia (untuk menerima ilmu) selagi masih hidup.
Jiwa-jiwa yang sihat ialah jiwa-jiwa Kenabian (Al-Nufus
Al-Nubuwiyah) yang bersedia untuk menerima wahyu dan bantuan (pertolongann atau
penguatan dari Allah), berkuasa untuk melaksanakan penyelongkaran dalam Ilmu
kejadian dan kebinasaan, kerana jiwa-jiwa itu adalah kekal dalam kesihatan
aslinya dan tidak berubah Mazrajnya oleh bencana penyakit. Oleh itu Anbiya'
adalah menjadi para doktor-doktor jiwa dan menjadi para penyeru makhluk supaya
menyucikan semulajadi akan diri mereka.
Ada pun jiwa-jiwa yang sakit dalam dunia yang hina ini
terdiri dari beberapa tingkat:
1. Jiwa-jiwa yang sedikit sahaja dikesani oleh penyakit yang
menimpa dan sedikit sahaja awan kelupaan menyeliputi lintasan-lintasan fikiran
mereka. Mereka berusaha dalam pengajian dan mencari kesihatan asli. Dengan ini
hilanglah penyakit mereka dengan pengubatan yang mudah. Tersingkaplah awan
kelupaan mereka dengan hanya sedikit pengajian sahaja.
2. Jiwa-jiwa yang belajar sepanjang usia dan berusaha dalam
pengajian itu. Mereka mencari kesihatan asli, maka hilanglah penyakit itu
dengan pengubatan yang mudah dan tersingkaplah awan kelupaan mereka dengan
hanya sedikit pengingatan.
3. Jiwa-jiwa yang belajar sepanjang usia, berusaha
mendapatkan ilmu dan membetulkan dalam seluruh zaman mereka, sedangkan mereka
tidak faham sedikit pun kerana rosak mazraj mereka, sebab mazraj ini bila rosak
tidak akan dapat diubati lagi.
4. Jiwa yang mengingat dan lupa, cuba melatihkan diri
(dengan beramal untuk mengembalikan ingatan itu) tetapi tiada berdaya. Mereka
hanya mendapat Nur yang sedikit dan pancaran yang malap. Perbedaan-perbedaan
ini timbul dari pengarahan jiwa-jiwa itu terhadap dunia dan tenggelam di dalam
dunia ini menurut kuat dan lemahnya seperti orang sihat bila ia sakit dan orang
sakit bila ia sihat. Bila masalah ini telah terurai, akan timbullah jiwa-jiwa
itu dengan Ilmu Laduni dan akan mengetahui bahawa mereka memang
Alim(mengetahui) pada awal semula jadinya dan murni pada permulaan ciptaannya.
Sedangkan mereka menjadi jahil itu adalah kerana sakit yang dideritai ketika
bersama dengan jasad yang tebal ini dan ketika tinggal dalam rumah yang kotor
dan tempat yanng gelap.
Bahawa jiwa-jiwa itu belajar untuk mendapatkan ilmu yang
tidak ada, bukanlah menciptakan akal yang luput, malah belajar itu adalah merupakan
usaha jiwa-jiwa tersebut untuk mengembalikan ilmu asal lagi instintif
(berdasarkan naluri bukan dihasilkan oleh taakulan atau ajaran) dan
menghilangkan penyakit yang timbul dari pengarahan jiwa-jiwa itu kepada
kekotoran jasad dan segala yang berhubung dengan kepentingan jasad.
Seorang bapa yang pengasih lagi penyayang kepada anaknya,
bila ia mengarahkan perhatiannya kepada soal menjaga anak sahaja, ia akan lupa
segala urusan yang lain dan masanya penuh dengan soal membicarakan anak sahaja.
Begitu juga jiwa, kerana terlampau memperhitungkan kepentingan kerangka (jasad)
ini dan tenggelam di dalam lautan tabiat dengan sebab lemah dan pengasingannya.
Ia memerlukan pelajaran sepanjang usianya untuk mengingatkan kembali apa yang
telah dilupakan dan untuk mendapatkan semula apa yang telah luput. Pengajian
ini tidak lain dari hanya pengembalian jiwa kepada jauharnya dan pencungkilan
apa yang berada dalam hati nurani kepada tindakan untuk menyempurnakan zatnya
dan mencapai kebahagiannya.
Bila suatu jiwa telah lemah dan tidak dapat kembali kepada
hakikat Jauhariahnya, hendaklah ia berguru pada seorang yang pengasih lagi Alim
dan memohon pertolongan daripadanya supaya ia menolong dalam mencapai
cita-citanya, seperti seorang sakit yang tidak tahu cara mengubati penyakitnya
sedangkan ia berusaha menyembuhkannya. Ia terus menemui doktor yang pengasih,
menerangkan hal dirinya dan meminta supaya mengubatinya.
Kita pernah menyaksikan seorang Alim menderita suatu
penyakit yang tertentu seperti sakit kepala dan dada, menyebabkan lari ilmu
dari jiwanya. Ia lupakan segala maklumatnya dan ingatannya terhadap segala apa
yang didapatinya dulu menjadi keliru dan tertutup. Bila ia sihat kembali,
hilanglah lupanya itu dan kembalilah jiwa mengingati maklumatnya, lalu
teringatlah semula apa yang telah dilupainya semasa sakit.
Dari sini kita dapat mengetahui bahawa ilmu-ilmu itu
tidaklah binasa, sebenarnya ia dilupakan. Perbezaan antara "Mahwun" artinya
"sapu" dan "Nasyan" ertinya "lupa".
Sapu itu ertinya binasa ukiran-ukiran dan tulisan-tulisan,
manakala lupa ialah kekeliruan di antara ukiran-ukiran dan tulisan-tulisan itu.
Seperti awan yang mendung atau awan yang menutup sinar matahari dari pandangan
orang bukan seperti jatuh matahari yang ertinya perpindahan matahari dari atas
bumi menuju ke bawah bumi.
Perhatian penuh jiwa dalam pengajian bermakna menghilangkan
penyakit dari jauhar jiwa supaya ia kembali kepada apa yang telah diketahui
pada awal-awal semulajadi dan telah dikenalinya pada awal kesuciannya.
Bila anda telah mengetahui sebab dan maksud pengajian dan
hakikat jiwa dan jauharnya, maka ketahuilah bahawa jiwa yang sakit adalah
memerlukan pengajian dan pengorbanan usia dalam mendapatkan ilmu-ilmu. Ada pun
jiwa yang kurang sakit dan sedikit sahaja penyakitnya, kecil merbahayanya,
tipis awan mendungnya, sedangkan mazrajnya sihat; maka ia tidak memerlukan
penambahan pengajian dan kepenatan yang lanjut. Malah dengan sedikit
Nazhor(Tilik) dan fikir sudah cukup untuk memulihkan kembali asalnya, sampai
kepada permulaan dan hakikatnya, melihat rahsia-rahsia jiwa dan mencungkil apa
yang ada di dalam dari kekuatan kepada tindakan serta menjadikan apa yang
tersembunyi di dalamnya sebagai pakaian untuknya.
Dengan ini lengkaplah dia dan sempurnalah keadaannya. Ia
mengetahui banyak perkara dalam waktu yang singkat dan menggambarkan maklumat
dengan teratur baik.
Ia menjadi Alim (mengetahui) sempurna lagi dicekapi
(Mutakallimah: maksudnya dicapai dari sebelah hijab atau dengan kata lain,
mendengar suara dari Alam Hakikat atau Alam Ketuhanan tingkat Wahdiah atau
Al-Aqlul Kulli yang memberikan ajaran-ajaran).
Ia mengambil cahaya dari pengarahan terhadap Jiwa-Jiwa
keseluruhan (Al-Nafsul Kuliyyah) dan Jiwa-Jiwa Keseluruhan ini pula melimpahkan
cahayanya ke atas Jiwa Bahagian (Al-Nafsul Juz'ie). Kedua-dua jiwa ini hampir
serupa keadaan dipandang dari segi kerinduan kepada asal. Ia (jiwa-jiwa yang
kurang sakit) memutuskan urat-urat dengki dan umbi dendam dan meninggalkan
keutamaan dan perhiasan-perhiasan dunia. Bila jiwa-jiwa telah sampai kepada
tingkat ini, sesungguhnya ia telah mengetahui, selamat dan berjaya. Inilah yang
dikehendaki untuk semua orang.
mohon copas nya
BalasHapusterimaksih
NJ casinos no deposit bonus codes for 2021 - JMHub
BalasHapusNJ casinos 김천 출장샵 no deposit bonus codes 2021 - All new 전주 출장마사지 players are eligible to receive 충청북도 출장샵 a risk-free 여수 출장마사지 bonus worth up to $1000. 제주 출장샵